25 Mac 2014

Hukuman mati ke atas 529 anggota Ikhwan terus dikutuk

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammed Morsi kelmarin.

“Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir.

“Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan,” ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammad Morsi kelmarin.

Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir. Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan.

Pendakwaan sepatutnya dikenakan ke atas pegawai tentera yang bertindak mengarah pembunuhan ke atas rakyat awam yang berdemonstrasi menentang kudeta.

Kami yakin hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka adalah atas arahan tentera dan ia merupakan suatu konspirasi menyeluruh untuk menghapuskan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir sekaligus membunuh demokrasi yang dituntut oleh rakyat Mesir.

Setakat ini Ikhwan Muslimin adalah satu-satunya gerakan yang boleh menggugat kuasa tentera. Gerakan itu berjaya memimpin rakyat menentang kudeta tentera merampas kuasa yang menggulingkan Dr Mohammad Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya yang bebas pada 2012.

Sudah dijangka Ikhwanul Muslimin yang diharamkan oleh regim tentera menjadi sasaran. Dalam usaha tentera mengekang kebangkitan rakyat, rakyat tetap tidak berganjak. Sejak Julai tahun lalu  sehingga kini rakyat terus melancarkan penentangan terhadap  kezaliman regim yang merampas kuasa rakyat.

Rakyat Mesir berhak untuk bangkit menentang regim tentera yang bertindak zalim menahan ribuan orang awam dan membunuh ratusan lagi.

Jelas perbicaraan itu adalah bertujuan hanya sebagai proses formaliti untuk mengabsahkan tindakan tentera padahal peguam defendan mengadu tiada peluang untuk membentangkan kes mereka. Para hakim tidak membenarkan hujah balas dan peguam defenden tidak pun dipanggil untuk berhujah bagi pihak mereka yang dituduh.

Perbicaraan itu dilaksanakan di mahkamah yang tidak bebas malah di bawah telunjuk tentera untuk memastikan penentang regim tentera itu dihapuskan. Mahkamah Mesir telah diperalat oleh pemerintah tentera untuk bertindak ke atas anggota Ikhwan dan semua penentang regim tentera itu.

Kesan keputusan mahkamah ini dan bakal diteruskan ke atas ratusan lagi dalam senarai tentera, akan pasti mencetuskan  kebangkitan rakyat bukan sahaja di Mesir malah diseluruh negara-negara Asia Barat. Ia membawa implikasi besar kepada revolusi dan kebangkitan rakyat Arab yang tercetus sejak awal 2011.

Gerakan Ikhwan Muslimin dikambinghitamkan oleh regim yang mengambil alih kuasa bagi memastikan kelompok Islam tidak berpeluang menampilkan alternatif kepada regim sebelumnya yang ditumbangkan oleh Arab Spring.

Dalam analisis global, pihak Barat sememangnya tidak mahu kebangkitan rakyat Arab berakhir dengan kuasa beralih ketangan kelompok Islam. Lantaran itu tidak mengejut segala tindakan menindas kelompok Islam terutama gerakan Ikhwan Muslimin tidak didukung oleh kuasa Barat walaupun atas nama hak demokrasi rakyat Mesir. Sebab itu tindakan regim tentera tidak dikecam oleh kuasa Barat walaupun jelas ia melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta hak demokrasi rakyat Mesir.

Hukuman yang tidak pernah berlaku seumpama ini pasti akan merangsang regim yang lain yang masih berkuasa seperti di Arab Saudi, Kuwait dan UEA akan turut mengambil langkah yang sama untuk bertindak menghapuskan sebarang anasir Ikhwan Muslimin yang bergerak di negara-negara tersebut.

Masyarakat antarabangsa  tidak boleh bersikap hipokrit dengan membisu ke atas keputusan mahkamah tersebut. Keputusan menjatuhkan hukuman mati  ke atas mereka adalah keputusan politik semata-mata bukan keputusan keadilan.

Kami menuntut agar keputusan mahkamah itu dibatalkan dan kedudukan  Presiden Republik diserah kembali kepada Dr Mohammad Morsi yang pilih rakyat dengan sah.

Kami menggesa seluruh gerakan Islam di dunia mengutuk keputusan mahkaman tersebut dan menuntut supaya mereka yang didakwa diberi peluang membela diri dengan adil atau dibebaskan.

Keputusan ini hendaklah disanggah di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan ke atas Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasina yang menggunakan mahkamah tribunal yang tidak diterima oleh antarabangsa untuk menghukum mati pemimpin Jamaat Islami.

Kami juga menggesa suatu persidangan gerakan Islam sedunia diadakan segera untuk menentukan tindakan ke atas kerajaan tentera yang tidak sah di Mesir itu dan menuntut ia menghentikan kezaliman, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dihidupkan kembali selepas revolusi 2011.
HARAKAHDAILY

PAS ucap takziah kepada keluarga mangsa MH370

KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga mangsa pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang disahkan hilang di lautan Hindi dan mengharapkan mereka tabah dan sabar menghadapi ujian Allah SWT.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub(gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata, PAS memahami dan turut merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berdoa moga mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT.
Pengerusi Pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan PAS Pusat itu juga menyeru umat Islam untuk mengadakan solat jenazah ghaib berdasarkan saranan yang bakal dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kedudukan terakhir pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dikesan di tengah Lautan Hindi di sebelah barat Perth, Australia.
Maklumat berhubung lokasi terakhir pesawat yang hilang sejak 17 hari lalu itu diterima menerusi data Immarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu, umum Najib.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
MAS dalam kenyataannya menyebut, berdasar maklumat yang diterima, adalah melewati sebarang keraguan yang munasabah bahawa semua penumpang dan krew pesawat berkenaan terkorban.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.  
HARAKAHDAILY

MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi - Najib


KUALA LUMPUR,  Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

"Menggunakan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberi beberapa petunjuk lebih jelas mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana Menteri berkata Malaysia Airlines telahpun memaklumkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan itu.

"Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di saat-saat sukar seperti ini," kata Najib.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung perkembangan ini akan diumumkan esok.

Najib berkata sidang akhbar yang tidak dijadualkan malam ini diadakan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai perkembangan baharu itu dengan secepat mungkin.

"Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan ini," katanya. Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya yang juga hadir pada sidang akhbar berkenaan kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat.

Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.

-- BERNAMA

MH370:Kenyataan PM Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR, -- Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini penerbangan MH370 yang hilang.

Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu.

Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut.

Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera.

Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini.

Malaysia Airlines sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini.

Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini.

-- BERNAMA

24 Mac 2014

Australia teliti setiap petunjuk kehilangan MH370

MELBOURNE: Pencarian objek kemungkinan dari pesawat Malaysia Arlines (MAS) MH370 yang hilang diperluas berikutan satelit Perancis memberi petunjuk baharu, lapor agensi berita Australian Associated Press.
  
Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan pada Ahad ia telah menerima gambar kemungkinan objek dari pesawat daripada pihak berkuasa Perancis, yang telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia yang mengetuai pencarian pesawat di selatan Lautan Hindi.
  
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata lokasi imej satelit Perancis berbeza sama sekali daripada yang dikeluarkan pihak China dan Australia, yang menjadi fokus utama pencarian.
  
Imej Perancis memfokus di kawasan kira-kira 850 kilometer utara dari  kawasan pencarian sekarang, 2,500 kilometer barat daya Perth, Truss memberitahu  ABC Radio pagi ini.
  
"Ia bukan di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tempat paling tepat pesawat memasuki laut.
  
"Tetapi dengan berkata begitu, kami perlu memeriksa semua pilihan. Kami hanya, saya agak, memegang kepada apa sahaja maklumat yang ada untuk cuba mencari satu tempat di mana kami mungkin boleh menumpukan usaha kami," katanya.
  
Australia mengetuai operasi mencari kesan pesawat pada Ahad yang belum berhasil, kata Truss.
  
Beliau turut memberi amaran tentang keadaan cuaca yang merosot di zon pencarian dan kemungkinan Taufan Tropika Gillian, yang dijangka kira-kira 1,000 kilometer utara di kawasan pencarian.
  
"Jelas, ia tidak akan bergelora di kawasan yang kita sedang kendalikan pencarian. Tetapi sudah tentu, ia akan menyebabklan keadaan cuaca yang kurang elok," katanya. - Bernama

MH370: Operasi Di Selatan Lautan Hindi Fokus Kepada Pencarian Secara Visual



KUALA LUMPUR, Operasi di selatan Lautan Hindi pada Ahad untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, melibatkan usaha mencari secara visual objek yang dikenal pasti satelit China pada 18 Mac.

Pengurus besar Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) John Young berkata walaupun usaha itu mengambil banyak masa dan menyulitkan, namun ia akan tetap diteruskan.

"Kami merancang untuk meneruskan usaha mencari secara visual objek yang telah dikenal pasti di dalam imej visual berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Canberra, Australia yang disiarkan secara langsung oleh CNN.

Pada Sabtu, sebuah satelit China menunjukkan satu objek berukuran 22 meter panjang dan 13 meter lebar kira-kira 1,550km di barat daya Perth.

Objek itu dikesan satelit pencerapan bumi China 'Gaofen-1' kira-kira pada tengah malam 18 Mac (waktu Beijing).

Pada sidang akhbar sama, ketua Pusat Penyelarasan Menyelamat AMSA Mike Barton berkata usaha mencari secara visual itu merupakan suatu perubahan seratus peratus dan operasi itu memberi tumpuan di kawasan lebih khusus dengan berpandukan imej satelit tersebut.

Katanya lapan pesawat terdiri daripada empat pesawat tentera dan empat pesawat awam menggunakan khidmat sukarelawan kecemasan yang terlatih dalam kaedah pemerhatian, dihantar ke loksi yang dikenal pasti.

"Kawasan tumpuan sering berubah akibat perubahan pergerakan air dan kami terus menjejakinya dengan menggunakan boya datum khas serta mendapatkan pendapat pakar daripada organisasi tertentu...kami gabungkan semua maklumat yang ada dengan imej satelit dalam membuat pencarian di kawasan berkenaan.

"Malam ini, kami akan lakukannya sekali lagi serta pergi ke kawasan carian dan akan terus berbuat demikian sehinggalah kami mendapat sesuatu berkaitan objek yang dikesan di kawasan itu," katanya.

Barton berkata imej satelit terbaharu yang dikeluarkan China adalah sama dengan imej yang dikesan satelit Australia beberapa hari lepas di kawasan terbabit.

"Jadi, sekali lagi, fokus adalah kepada mencari secara visual untuk mengesan barangan berkenaan dan menentukan jenisnya...tapi ia amat sukar dilakukan dari atas (pesawat)," katanya.

Beliau berkata operasi itu akan berterusan hingga petang Waktu Siang Timur pada Ahad.

Sementara itu, Young menjangka jumlah aset yang digunakan dalam operasi SAR di selatan Lautan Hindi bertambah beberapa hari lagi.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat berkenaan dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

-- BERNAMA

MH370:Laporan Layanan Buruk Polis Tidak Benar - Ibu Warga China

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Warga China Liu Guiqui, ibu kepada Li Le, penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, menyangkal laporan kononnya beliau dilayan buruk oleh polis semasa sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac di Hotel Sama-Sama Sepang.

Liu dalam temu bual dengan China Central Television (CCTV), berkata beliau membuat keputusan pergi ke sidang akhbar itu, kerana beliau mahu bertanyakan ahli politik Malaysia mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap anak lelaki beliau, yang ketika itu telah hilang selama 12 hari, kerana beliau tidak faham kenapa tiada sebarang berita yang diterimanya.

"Itu tidak benar. Saya dikerumuni oleh pemberita. Ada seorang anggota polis muda yang pada mulanya saya ingatkan mahu menarik saya.

"Pada mulanya saya tidak faham apa yang berlaku tetapi seseorang memberitahu saya jangan panik. Mereka meyakinkan saya, mereka berada di situ untuk melindungi saya," kata Liu.

Liu terbang ke Kuala Lumpur kerana beliau mahu menjadi orang yang pertama menyambut Li bila anaknya itu kembali. Beliau menyifatkan Le yang mempunyai seorang anak perempuan, sebagai orang yang murah hati, baik, setia dan melayani semua orang dengan perasaan hormat.

Ditanya mengenai cakap-cakap kononnya kerajaan Malaysia tidak mendedahkan semua maklumat, Liu berkata beliau tidak peduli semua itu kerana apa yang beliau mahukan semata-mata anaknya dan semua penumpang dalam kapal terbang itu kembali dengan selamat.

Malah beliau berterima kasih dengan kerajaan dan rakyat Malaysia kerana menjaganya setiap hari dan beliau tidak percaya kepada mereka yang mendakwa kerajaan tidak mengambil berat tentang keluarga penumpang pesawat itu.

"Saya tidak percaya perkara itu berlaku. Saya percaya mereka juga amat tertekan. Saya faham bahawa mereka kini sibuk mencari pesawat yang hilang itu.

"Oleh itu memang patutlah mereka (kerajaan) tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga yang terlibat," kata Liu.

Bila ditanya apa yang akan dikatakan kepada anak lelakinya jika dia boleh mendengar ibunya, Liu menangis sambil berkata: "Ibu menunggu kamu. Pulanglah segera. Ibu percaya kamu akan pulang dengan selamat."

Liu juga menunjukkan tanda penghargaannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang turut berusaha mencari pesawat itu.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana berusaha mencari keluarga kami," katanya penuh perasaan sambil duduk melutut.

-- BERNAMA

MH370:Pesawat India sertai misi pencarian di Lautan Hindi

KUALA LUMPUR: Dua pesawat peninjau maritim jarak jauh India berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pagi semalam bagi menyertai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di Lautan Hindi. 

Pesawat P8-I milik Tentera Laut India dan C-130J Tentera Udara India itu mampu terbang untuk tempoh yang lama selain dilengkapi peralatan elektro optronik dan peralatan penjejak infra merah yang canggih.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di sini semalam, pesawat P8-I turut dilengkapi radar serta peralatan khas bagi operasi mencari dan penyelamat.
    
Selepas mendengar taklimat terperinci di Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik (ARCC) pada Sabtu, kedua-dua pesawat bertolak ke kawasan pencarian.
    
Kenyataan itu menyebut kedua-dua pesawat tiba di sini pada 21 Mac berikutan komitmen Perdana Menteri India Manmohan Singh bagi membantu Malaysia dalam pencarian pesawat MH370.
    
India menyertai misi pencarian itu sejak 11 Mac lepas di Laut Andaman dan Teluk Benggala dengan menggerakkan lima kapal serta enam pesawat Tentera Laut negara itu selain Pengawal Pantai India dari Markas Andaman dan Nicobarp.
    
Pesawat MH370, yang dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar pada kira-kira 1.30 pagi 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
    
Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ke-16 hari ini. - Bernama

MH370: Imej baharu satelit beri harapan baharu

KUALA LUMPUR: Imej baharu satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang membayangkan bahawa objek berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines MH370 di sekitar koridor selatan memberi harapan baharu bagi misi pencarian pesawat. 
    
Kementerian Pengangkutan berkata Malaysia menerima imej itu daripada pihak berkuasa Perancis pagi ini dan segera menyampaikan maklumat itu kepada pusat koordinasi penyelamat Australia.

Perkembangan terkini mengenai operasi mencari MH370 dimaklumkan melalui kenyataan kerana tidak ada sidang media hari ini.

Sidang media harian pada pukul 5.30 petang di Hotel Sama-Sama dekat Lapangan Terbang Antarabangsa KL sejak 8 Mac telah dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai hari ini.

Sebelum ini, Australia dan China telah mengeluarkan imej satelit menunjukkan objek yang bermungkinan mempunyai kaitan dengan MH370, di sekitar koridor selatan.

"Semua maklumat ini telah disalurkan kepada Australia sebagai negara yang mengetuai misi pencarian di kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata Malaysia telah dimaklumkan oleh para pegawai Australia bahawa mereka tidak membuat apa-apa penemuan baharu berhubung MH370 setakat pukul 2.30 petang hari ini.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata operasi hari ini membabitkan pencarian visual.

Pengurus besar AMSA John Young memberitahu sidang media di Canberra hari ini bahawa walaupun pencarian visual mengambil masa dan mungkin sukar tetapi keputusan yang dipersetujui adalah untuk meneruskan pencarian.

AMSA berkata imej satelit objek terapung di koridor selatan yang dirakamkan oleh China, semalam termasuk dalam kawasan pencarian.

Pencarian pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal masuk hari ke-16 hari ini. - Bernama

Juru foto tempatan lakukan kejutan

Gambar yang menempatkan nama Muhamad Saleh sebaris juru gambar antarabangsa lain

KOTA BHARU- Hanya kerana sekeping gambar, namanya kini sebaris juru foto antarabangsa lain selepas dinobatkan sebagai pemenang ketiga Anugerah Fotografi Antarabangsa Hamdan (HIPA), Dubai baru-baru ini.

Muhamad Saleh Dollah, 40, tidak pernah menyangka percubaan pertamanya menghantar gambar untuk menyertai pertandingan itu tahun lalu berhasil apabila idea dan kreativiti yang diaplikasikan berjaya menyaingi peserta dari seluruh pelosok dunia.

“Mungkin ini rezeki saya, tidak ada persiapan dilakukan, hanya hantar gambar sedia ada yang diambil dua tahun lalu, dengan ambil kira tema ditetapkan, iaitu ‘mencipta masa depan’. Malah, proses penghantaran gambar dibuat melalui laman web anugerah itu juga dilakukan saat akhir, kira-kira enam jam sebelum penyertaan ditutup,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhamad Saleh yang lebih dikenali sebagai Abe Less Classictouch Full berkata, beliau merupakan peserta pertama dari Malaysia yang menyertai anugerah itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Mempertaruhkan gambar warga emas sedang mencari cucunya yang hilang di Pantai Mek Mas, PCB, dengan bertemankan pelita, Muhamad Saleh tidak menyangka ia mampu menarik perhatian juri sehingga melayakkan beliau menangi sebuah trofi dan wang tunai USD6,000 (RM20,000).

Pemilik kedai gambar Classictouch Studio ini berkata, bukan kamera yang menentukan kualiti atau menariknya sesuatu gambar sebaliknya objek di sebalik alat tersebut.

“Saya tidak gunakan kamera yang mahal kerana pada saya itu bukan syarat dalam mendapatkan foto terbaik,” katanya yang merancang menggunakan sebahagian wang hadiah untuk tujuan pengembaraan dalam mendapatkan gambar-gambar lebih
menarik.

Menurutnya, mendapat tunjuk ajar daripada abang ipar, Rosdi Ab Hamid yang juga pemilik kedai gambar terkemuka di negeri ini, Rosdi Foto, dan kakaknya, Hanisah Dollah banyak bantu mematangkan dirinya dalam dunia fotografi.

HIPA merupakan anugerah fotografi antarabangsa terkenal, yang dilancarkan pada tahun 2011 di bawah naungan Sheikh Hamdan Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai, dan terbuka kepada jurugambar tempatan dan antarabangsa, bertujuan mencerminkan komitmen Dubai ke arah pembangunan seni dan budaya di UAE.

Sinar Harian

Penerbangan MAS MH114 ke Kathmand dirempuh burung

   
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini mengesahkan penerbangan MH114nya dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 21 Mac lepas telah dilanggar oleh sekumpulan unggas semasa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Nepal.

MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata sebaik sahaja mendarat, pesawat itu telah diperiksa oleh jurutera bertugas.

Akibat kejadian itu, penutup lensa lampu mendarat pesawat itu telah pecah dan menafikan laporan yang mengatakan bahawa cermin hadapan pecah dalam insiden itu.

"Pesawat itu tidak dibenarkan terbang pada malam itu juga dan penutup lensa yang pecah itu telah diganti," kata kenyataan itu.

"Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali.

Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian.

Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu.

Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah.

MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat.

Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki.

Sementara itu, pegawai ATC berkata pengurus besar TIA telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut dan beliau mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap juruterbang MAS terbabit kerana tidak membuat laporan segera tentang kejadian itu.

Juruterbang berkenaan sepatutnya memaklumkan kejadian itu dengan segera kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini," kata pegawai itu.

Lebih 75 kejadian pesawat berlanggar dengan unggas ketika berlepas atau mendarat berlaku di TIA sejak 1990.

Tiga daripadanya mengakibatkan kerosakan besar terhadap pesawat. Walaupun sebuah pesawat Airbus A300 Thai Airways dan sebuah pesawat Dc-10 Biman Bangladesh terselamat daripada nahas pada 1996 dan 2010, 19 orang maut apabila pesawat Dornier Sita Air terhempas pada September 2012.

Insiden unggas merempuh pesawat sememangnya satu perkara yang sering berlaku di lapangan terbang negara yang bergunung-ganang dan dilitupi hutan tebal itu.

Kajang langkah awal ke Putrajaya – Dr Wan Azizah

   
KAJANG: Calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan  kemenangannya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang sebagai membuktikan keberkesanan 'Langkah Kajang'.
Beliau juga menyifatkan kemenangan ini sebagai langkah pertama menuju Putrajaya, dengan peningkatan undi di kebanyakan saluran 5, 6 dan 7 yang merupakan saluran undi golongan muda.
Kemenangan itu juga, katanya lebih manis apabila Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi Melayu, selain berjaya memenangi dua kawasan Melayu yang dahulunya dimenangi BN.
"Peningkatan undi Melayu terhadap kita menunjukkan trend yang positif yang boleh memberikan kemenangan dan terus ke Putrajaya," kata beliau kepada media.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pusat penjumlahan undi, Kompleks Sukan MPKj, Bandar Baru Bangi, sejurus selepas diumumkan sebagai Adun baru Kajang.
Dalam pada itu, Wan Azizah menjelaskan penurunan majoriti diperolehi PKR kali ini terkesan dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Dun Kajang yang memilih beliau sebagai wakil rakyat selain jentera parti dari PKR, PAS dan DAP yang bertungkus-lumus sepanjang kempen selama ini.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah PRK Kajang, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang berperanan sepanjang kempen ini," ujarnya.
Presiden PKR itu turut mengulangi komitmen untuk menunaikan semua perkara yang terkandung dalam manifestonya sebagai langkah awal khidmatnya kepada penduduk Kajang.
Dr Wan Azizah memenangi kerusi Dun Kajang dengan majoriti 5,379 undi.
Beliau meraih 16,741 undi manakala calon BN memperolehi 11,362.

03 Mac 2014

Kelantan-Selangor laksana 7 projek usahasama

Kelantan dan Selangor Mencapai Persetujuan Untuk Melaksanakan 7 Projek Usahasama




 KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Selangor semalam mencapai persetujuan untuk melaksanakan tujuh projek usahasama bagi manfaat ekonomi kedua-dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua belah pihak bertempat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10, dekat sini, semalam.

Daripada tujuh projek yang dirangka, empat bakal dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) membabitkan pusat halal hub bertaraf antarabangsa, pendidikan, rawatan air dan sistem horas.

Tiga lagi projek pula bakal dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi mengembangkan Ar Rahn (sistem gadaian Islam) di Selangor, pembangunan wifi dan jalur lebar di Selangor dan mewujudkan pusat pengumpulan pemasaran bagi produk makanan halal keluaran usahawan Kelantan dan Selangor.






MoU ditandatangani Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan dan Selangor.

Ustaz Ahmad, ketika berucap berharap MoU yang ditandatangani akan dilaksanakan secepat mungkin dan menjadi rahmat kepada kedua-dua belah pihak.

"(Sebagai contoh) masalah kapsul yang selama ini diragui status halalnya diharap dapat diatasi dengan terbinanya pusat hab halal," ujarnya.

Abdul Khalid pula berkata, proses pemantauan akan dilakukan setiap tiga bulan oleh pegawai khas yang dilantik untuk memastikan keberhasilan MoU yang ditandatangani.

Menurut beliau, Selangor juga mencontohi Kelantan dalam menubuhkan sekolah sains tahfiz yang mampu mendidik masyarakat kepada ajaran Islam yang murni.
Kredit kepada Harakah Daily

30 Rabiul Akhir 1435H/ 02 Mac 2014M

KelantanTV: Tepat dan Informatif
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman