Berhubung Cadangan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Untuk Menghentikan Perkhidmatan Bas Berhenti-henti “Cityliner”
- Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan atau ringkasnya SKMK, merupakan pengendali pengangkutan bas yang ternama di Kelantan dan di Malaysia. Syarikat ini mengendalikan perkhidmatan yang pelbagai, antaranya ialah Bas Cepat atau bas ekspres (tanpa berhenti-henti) yang menghubungkan seluruh jajahan dan bandar-bandar utama yang terdapat di Negeri Kelantan. Selain itu SKMK juga menyediakan perkhidmatan Bas antara bandar yang beroperasi secara berhenti-henti (Cityliner), bagi menghubungkan bandar-bandar utama, sederhana, kecil dan kawasan-kawasan setempat.
- Hakikatnya SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 ini telah banyak menabur jasa kepada seluruh rakyat Kelantan dengan perkhidmatan pengangkutan untuk semua jenis peringkat rakyat. Bagaimanapun, ekoran kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuklah untuk tujuan penyelenggaraan kenderaan, SKMK telah melahirkan hasrat untuk menghentikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner atau sekurang-kurangnya mengurangkan laluan perkhidmatan melalui sepucuk surat kepada saya baru-baru ini.
- Pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah diberikan taklimat sebanyak dua kali dan kerajaan melihat kewajaran di sebalik perbehentian perkhidmatan tersebut ekoran kos yang terpaksa ditanggung oleh SKMK yang akhirnya mengakibatkan kerugian. Manakala faktor lain termasuklah kewujudan perebet sapu dan persaingan dengan teksi dan kadar tambang rendah yang dikawal turut menyumbang ke arah kerugian tersebut.
- Bagaimanapun, pihak kerajaan melihat perbehentian perkhidmatan bas henti-henti Cityliner ini akan memberikan implikasi besar kepada rakyat bawahan termasuklah para pelajar yang telah menggunakan perkhidmatan ini sekian lama. Justeru, pihak kerajaan di dalam mesyuarat Exco yang lepas telah membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM100 ribu sebulan kepada SKMK bermula bulan November 2011 selama empat bulan untuk tujuan menampung kerugian yang sedang ditanggung. Manakala di dalam mesyuarat semalam iaitu pada 6 Zulhijjah 1432 H bersamaan 2 November 2011 M, kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Teknikal Pengangkutan Bas untuk membincangkan langkah pemulihan berikutnya. Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Mejar (B) Dato Haji Mohd Anizam bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar serta turut disertai oleh beberapa orang exco dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kelantan.
- Kerajaan Kelantan dengan segala kemampuan yang ada akan terus berusaha untuk memastikan keperluan rakyat terutamanya kelas menengah dan bawahan tidak terjejas dan ini termasuklah memastikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner yang telah banyak menyumbang kepada rakyat Kelantan dapat diteruskan.
Sekian, terima kasih.
Dengan hormat,
Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 7 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 3 November 2011 M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan