Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini merakamkan
ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada bekas Menteri Besar
Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memegang jawatan itu selama
23 tahun.
Usul berkenaan dicadangkan Azami Mohd Noor
(PAS-Kadok) sebelum dewan membuat penggulungan perbahasan yang
kemudiannya mendapat persetujuan kesemua anggota dewan berkenaan.
Nik
Abdul Aziz (PAS-Chempaka) yang merupakan Mursyidul Am PAS memegang
jawatan menteri besar sejak PAS memerintah pada 1990 sebelum
menyerahkannya kepada timbalannya Datuk Ahmad Ya'kub selepas parti itu
menang pada pilihan raya umum lalu.
Sebelum itu, ketika
menyokong usul berkenaan, seorang penyokong kerajaan negeri, Mohd Zaki
Ibrahim (PAS-Kelaboran) sekali lagi membuat tuduhan liar terhadap
Barisan Nasional (BN) yang kononnya gagal menerapkan nilai Islam di
negara ini berbanding apa yang telah dilakukan kerajaan Kelantan
pimpinan PAS.
Mohd Zaki mendakwa disebabkan kerajaan negeri
mengharamkan unsur perjudian, penduduk terutama di Gua Musang telah ke
negeri lain untuk berjudi.
"Saya mendapat maklumat penduduk Gua Musang telah pergi ke Ipoh (Perak) dan Kuala Lumpur untuk pergi berjudi," katanya.
Dakwaan
Mohd Zaki itu kemudiannya dibantah Mat Yusuff Abdul Ghani (BN-Nenggiri)
yang bangun meminta penyokong kerajaan itu memberikan bukti jika benar
penduduk Gua Musang telah pergi berjudi ke negeri berkenaan.
"Saya minta Kelaboran memberikan bukti terhadap perkara itu apakah benar penduduk Gua Musang telah pergi berjudi ini," katanya.
Mohd Zaki bagaimanapun gagal memberikan penjelasan terperinci walaupun mendakwa mempunyai bukti.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan