07 Julai 2011

Elektrik: Syarikat IPP diutamakan, rakyat diketepikan

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Senator Pakatan Rakyat mempersoal tindakan kerajaan menaikkan
 tarif elektrik sebelum selesai semakan semula terma-terma perjanjian pembelian tenaga
 (power purchase agreement-PPA) dengan pihak penjana tenaga bebas (IPP).
Salah satu inisiatif semakan semula terma-terma PPA ini yang dijangka akan dimuktamadkan
 pada tahun ini adalah untuk mengurangkan keuntungan pihak IPP menerusi pengurangan
 bayaran yang akan mengurangkan kadar kapasiti yang dikenakan ke atas pihak TNB oleh
 pihak IPP.
Senator Mumtaz Md Nawi dari PAS berkata, inisiatif ini menunjukkan kerajaan sedar terlalu
 banyak keuntungan yang diperoleh IPP namun dalam masa yang sama terus membebankan
 rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.
"Maknanya kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP tapi mereka naikkan
 tarif (elektrik) sedangkan mereka boleh tunggu sampai akhir tahun, dah habis bincang dengan
 IPP baru naikkan tarif.
"Bila kerajaan bincang dengan IPP sejauh mana mereka akan bertolak ansur kerana apa yang
 paling penting rakyat patut diutamakan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Mumtaz dalam soal jawab lisan di Dewan Negara meminta Menteri Tenaga,
 Teknologi Hijau dan Air menyatakan siapakah pemilik Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta
 status rundingan dengan IPP bagi meminda terma perjanjian untuk mengurangkan bebanan
 rakyat dan jumlah pendapatan yang dijana oleh IPP dari mula ditandatangani sehingga 2010
 dan sumbangan kewangan langsung dari IPP terhadap rakyat dalam tempoh tersebut.
Menteri dalam jawapannya memberitahu sebanyak 14 syarikat IPP yang telah diluluskan lesen
 untuk beroperasi di Semenanjung Malaysia antaranya TNB Janamanjung di Perak,
 Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Port Dickson Power Bhd dan
Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd.
Kerajaan juga bersetuju untuk menyemak semula terma-terma PPA dengan pihak IPP yang
 merupakan sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula industri bekalan elektrik.
Ekoran jawapan tersebut, Mumtaz berkata, kerajaan lebih mementingkan 14 syarikat tersebut
 yang menjana pendapatan sebanyak RM107 billion daripada tahun 1996 hingga 2010  dan
 mengenepikan kepentingan rakyat.
"Terma apa yang dipinda? Ia mesti ada terma-terma yang nak dipinda dan bilakah ianya akan
 dipinda? Kenapa ianya tidak dipinda sebelum kerajaan menaikkan sebarang tarif elektrik?
"Yang terlibat dengan IPP ialah 14 buah syarikat tetapi yang menerima kesan daripada
peningkatan tarif elektrik ialah rakyat kira-kira 27 juta," katanya yang juga
 Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Mumtaz turut mendakwa kejadian blackout semakin kerap berlaku meskipun kerajaan
 berkata IPP diperkenalkan untuk menstabilkan sistem pembekalan elektrik daripada
 mengalami gangguan seperti brownout atau blackout.
Menteri juga memberitahu, pihak IPP diminta untuk menyumbang 1 peratus daripada jumlah
 hasil tahunan yang telah diaudit dengan mengambil kira kos bahan bakar bagi tahun
sebelumnya kepada Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).
Tambah Mumtaz juga, kerajaan seharusnya menjelaskan nilai sebenar 1 peratus itu.
"Dalam kes ini berapakah nilai sebenar kerana sepatutnya mereka boleh mengemukakan
 nilai sebenar keuntungan bersih oleh IPP.
"Hari ini selepas tarif elektrik dinaikkan kita lihat kes-kes melibatkan blackout masih lagi
 berterusan dan makin banyak dan ini tidak mencapai target sedangkan IPP mendapat
 untung yang besar.
"Jumlah yang diminta 1 peratus satu kenyataan yang longgar. Sepatutnya jumlahnya yang
 kita nak tahu. Seolah-olah kerajaan terpaksa mengemis dengan IPP," katanya.
Menteri memberitahu, jumlah sumbangan terkumpul yang telah diterima oleh AAIBE sejak
 ditubuhkan pada tahun 1997 hingga kini adalah sebanyak RM 929,798,911.80.
Cukai luar biasa
Sementara itu, Senator Dr Syed Husin Ali dari PKR dalam sidang media sama mencadangkan
 kerajaan mengenakan cukai luar biasa ke atas IPP sementara menunggu kajian PPA ini selesai.
"Sekarang kerajaan nak kaji soal PPA dengan IPP dan sementara tunggu keputusan sepatutnya
 kerajaan boleh mengenakan cukai luar biasa (ke atas IPP)yang boleh dilakukan mengikut
undang-undang kerana kita tak tahu bila kabinet akan buat keputusan.
"Kita harap akan disegerakan dan mesti diadakan cukai luar biasa kerana keuntungan IPP itu
 terlalu besar dan tidak digunakan untuk kepentingan rakyat terbanyak," kata bekas timbalan
 presiden PKR itu.

Hazayani Zakaria  

Tiada ulasan:

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman