05 Julai 2011

Peniaga dedah jadi mangsa percaturan persatuan

 

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 5 Julai: “Kami menjadi mangsa percaturan persatuan. Kami kesal sangat dan
 tak sangka dipermainkan persatuan sendiri.
”Tapi kesal pun dah tak berguna dah sekarang. Begitu setia kami kepada persatuan ketika itu.
 Ketika diminta kerajaan negeri membuat pendaftaran awal kami enggan kerana mengikut
arahan persatuan.
“Sedangkan ada orang kuat Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB senyap-senyap daftar,”
dedah seorang peniaga ketika ditemui di Bazar Tok Guru.
Isu Bazar Tok Guru menjadi kalut apabila Umno Kota Bharu dan Kelantan bertengek di situ
 kononnya mahu membela persatuan dengan menghodohkan kerajaan negeri.
Lebih setahun kerajaan negeri dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi
 mangsa kritikan media massa yang dekat dengan Umno.
Kemuncaknya Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh mencetak risalah dikenali
 sebagai Khabar dan diedar di masjid-masjid bagi menghentam kerajaan negeri.
Sedangkan nasib peniaga tetap dibela kerajaan negeri apabila mengurangkan harga asal
 daripada RM88,000 kepada RM65,000 di tingkat bawah dan satu.
Malah peniaga juga diberi kelonggaran berniaga secara percuma selama setahun di tingkat
 bawah dan dua tahun di tingkat satu.
Peniaga terbabit mendedahkan lagi kerana percayakan persatuan mereka tidak mengindahkan
 kemudahan ditawar kerajaan negeri untuk mendaftar lebih awal.
Rungutan serupa juga disuarakan beberapa lagi peniaga. Tanpa mahu mendedahkan nama
 mereka sekarang seperti sesal tak sudah.
Sebahagian peniaga membuka kedai mereka mulai semalam. Selain ada juga peniaga sibuk
 memunggah barang ke dalam lot kedai.
Biar pun sibuk mengemas dan menyusun barangan jualan, semakin ramai pelanggan datang
 membeli-belah.
Bazar Tok Guru dijangka menjadi tumpuan ramai apabila berlangsung Ekspo masakan Cheng Ho
 (Kelantan Chengho International Food Festival 2011 - Kelchef). Program bertaraf antarabangsa
 itu pertama kali diadakan di negara ini, dianjurkan kerajaan Kelantan.
Kelchef akan diadakan bermula 14 hingga 23 Julai ini berhampiran Bazar Tok Guru. Tahun lepas
 kerajaan negeri menganjurkan Ekspo Cheng Ho di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.
Seorang lagi peniaga, Sarina Abdul Rashid, 35, ketika ditemui berharap rezeki mereka bertambah
di tempat baru terutama ketika berlangsung Kelchef.
“Pelanggan tak ramai lagi kerana tempat baru. Saya minta kerajaan negeri terus mempromosikan
 tempat ini.
“Kita juga berharap perasmian tempat ini diadakan sekali dengan solat hajat yang amalan biasa
 bagi umat Islam,” ujarnya.
Zuraidah Ishak, 53, tersenyum pada hari kedua berniaga di Bazar Tok Guru kerana pelanggan
 mula datang.
Rosnani Yusof, 35, pula mencadangkan PMBK membina peneduh tambahan bagi menghalang
 tempias apabila hujan lebat. Selain itu dibina pagar di setiap tangga bagi memudahkan warga
 emas dan kanak-kanak turun naik.

Tiada ulasan:

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman