31 Oktober 2012

Peneroka Felda mangsa perniagaan Saham kroni BN

- Apalah sangat dengan projek Lembah Sirih

Semasa penyenaraian Felda melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FVGH) baru-baru ini, hanya 90 juta unit saham sahaja diperuntukan untuk 112,635 peneroka seluruh negara. Setelah dibahagi-bahagi sama banyak maka satu keluarga peneroka hanya dapat 810 unit saham FGVH dengan harga RM4.55 sen. Bayaran untuk membeli saham itu pula, dikatakan pihak peneroka disuruh meminjam di CIMB (bank milik adik Perdana Menteri). Kesannya, tiadalah untung sangat, kerana peneroka kena membayar balik pinjaman mereka dari CIMB.

Ini bermakna purata seorang peneroka dianggar memiliki 800 unit saham itu dan jika sejumlah saham itu dijual dalam sehari dua untuk membayar balik pinjaman (kepada) CIMB, maka satu keluarga akan untung sekitar RM500-600, sedangkan orang lain (sebilangan kroni BN) yang telah diperuntukan jutaan saham telah mendapat jutaan ringgit untung dalam sekelip mata sahaja.

Sementara ketika dipasarkan di Bursa Malaysia pada 28 Jun yang lalu, urus niaga FGVH ditawar pada harga RM5.39. Ia dikatakan tidak memberi apa-apa makna kepada peneroka.

Ada saham judi

Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan  telah menunjukkan statistik yang dikeluarkan Bloomberg Peers, menunjukkan senarai syarikat berkaitan judi di Genting Highland, Genting Berhad dilapor terbabit memiliki 407,005,000 yang jika dijumlahkan bernilai hampir RM 2 bilion.

Sementara itu, Mazlan turut mendesak pihak berkaitan, terutama penafian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan agar memikirkan secara serius berhubung kedudukan saham FGV yang kini berada pada tahap RM 4.75.

Sementara itu, dana orang ramai yang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut terlibat membeli 2.2 juta saham FGVH pada saat harga sahamnya tenggelam ke paras terendah yang ditutup pada RM4.68 sesaham atau hanya 13 sen di atas harga pengeluaran. Menurut pengajuan Bursa Malaysia, pegangan dana pencen terbesar negara di FGVH telah meningkat 5.4 peratus sejak 3 September, sehari sebelum FGVH menjunam di bawah tanda RM5.

Dana pencen (kakitangan awam) itu juga baru-baru ini membelanjakan RM2.4 bilion untuk mengambil alih tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh yang akan bertukar menjadi sebuah perbandaran. Kesemuanya atas keputusan siapa, adakah pihak yang berkaitan dengan kroni BN?

Dijangka terus jatuh

“Keuntungan RM1 sesaham itu sangat kecil kerana peneroka terpaksa membayar yuran proses dan kos guaman menyertai FGVH.

“Kalau untung RM3 sesaham baru peneroka mendapat sedikit keuntungan. Dari urus niaga awal ini, yang untung besar ialah Tan Sri Isa Samad dan kroni-kroninya yang mendapat banyak saham FGVH,” kata Suhaimi Said, Ketua Biro Felda dan Orang Asal Parti KeADILan.

Peneroka bakal menanggung kerugian besar apabila prestasi saham FGVH semakin menjunam jatuh walaupun baru dua bulan tersenarai di Bursa Saham. Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr Rosli Yaakop berkata, penganalisis meramalkan pasaran saham mungkin akan kekal lemah dalam tempoh sehingga enam bulan dan boleh jatuh di bawah harga par RM4.55 seunit.

“Penurunan harga saham sangat besar sehingga mencapai 20 sen dalam masa seminggu. Keadaan ini jarang berlaku pada mana-mana syarikat kukuh,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Gajah sarkas

Berdasarkan pelan penyenaraian asset Felda (baca peneroka) yang begitu kontroversi, maka ada pihak melihat cara layanan perdana menteri dan pengerusi Felda terhadap para peneroka Felda seumpama ‘gajah sarkas’. Peneroka dijamu dan djanjikan dengan kenikmatan untung besar (baca makan besar), sedangkan hakikatnya pengajur sarkas mengaut untuk tiket pertunjukan yang berganda-ganda.

Kesian kepada peneroka, tatkala tanah dan ladang sepatutnya diwarisi, kini sudah terapung kepada pelabur-pelabur yang menawarkan untung lumayan. Apa kesudahannya?
Harapnya tidaklah peneroka benar-benar menjadi peliharaan (gajah sarkas) yang mudah diatur oleh mereka (penganjur sarkas––baca pemimpin yang rakus), ke mana sahaja akan di bawa demi untung melimpah ruah pihak sang kroni mereka.

Apalah diheboh projek Lembah Sirih di Kelantan

Sehari dua ini, heboh tentang Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menegur tadbir urus kerajaan, termasuklah Kerajaan Kelantan berhubung Projek Pembangunan Lembah Sirih. Kononnya kerajaan Kelantan tiada mendapat apa-apa hak dari pihak pemaju sebagaimana perjanjian. Lalu muncullah ’murai Umno’ berkokok dan melalak mendesak.

Tujuan tidak lain agar rakyat Kelantan meragui tentang keupayaan kerajaan negeri mengendali projek secara pelaburan swasta yang bernilai lebih daripada RM2 billion yang terletak di Lembah Sungai Kelantan itu. Ia melibatkan tanah yang ditebusguna hasil limpahan (mendapan pasir) seluas 400 hekter. Tanahnya diusahakan secara pajakan (bukan dijual) dan pemiliknya tetap kerajaan negeri.

Apalah sangat dengan keluasan itu dibandingkan dengan tanah Felda Plantation yang melibatkan kepentingan 112 ribu peneroka yang keluasannya 360,000 hekter (Jadual di sebelah)?

Sementara Lembah Sirih yang dulunya dimanfaatkan untuk puluhan keluarga sahaja, tetapi kini dengan siapnya kira-kira 50% sudah berjaya membuka peluang pelbagai aktiviti kepada lebih 3,000 orang. Ia berlaku dengan positif berikutan wujudnya Tesco (pasaraya), Kolej Masterskill (pendidikan), Kolej PTPL (Pendidikan), terminal bas (ekspres ke Pantai Barat dan KL-Selatan), deretan gudang, pusat rekreasi di tepi sungai dan pelbagai kios untuk usahawan Bumiputera.

Apakah sang murai Umno tergamak untuk menyekat rezeki yang sudah di depan mata atas semata-mata dengki dengan keupayaan kerajaan Negeri di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz?

Rakyat pasti bijak menilai mana benarnya antara suara murai dengan apa yang berlaku di depan mata.

Tiada ulasan:

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman