26 September 2013

Setahun tadah air hujan


CHUKAI – Gara-gara bekalan air dipotong akibat bil air tertunggak, sebuah keluarga di Kampung Alor Acok, Jalan Abdul Rahman, di sini, terpaksa menadah air hujan sejak lebih setahun lalu untuk kegunaan harian termasuk berwuduk, mandi serta membasuh pakaian.

Namun penderitaan itu berakhir apabila Adun Chukai, Hanafiah Mat membantu melangsaikan bayaran bil air berjumlah RM1,030.75.

Hayani Abdullah, 54, berkata, bantuan itu sangat bermakna sekali gus menamatkan kesukaran hidup mereka selepas bekalan air di rumah sewa dihuninya bersama suami, Muda Nik, 59 dan kakak yang terencat akal, Rosnani, 56, dipotong pada 15 Mei tahun lalu.

“Hidup dalam keadaan tiada bekalan air, sangat seksa. Selepas bekalan air dipotong, saya tadah air di kawasan projek pembinaan bangunan di belakang rumah kami. Namun selepas beberapa bulan, paip di kawasan itu pun ditutup,” katanya.

Menurutnya, suaminya kemudian mengubahsuai bahagian atap  dengan meletakkan bekas takungan air berserta saluran yang mengalirkan air itu ke dalam rumah.

“Kalau hujan jam 2 pagi, kami tiga beranak tidak tidur sebab tunggu tangki penuh, kemudian kami tadah dengan besen dan baldi. Air itu bolehlah digunakan beberapa hari.

“Tapi air itu kami tidak gunakan untuk minum. Air minuman saya tadah di paip sebuah kedai alat ganti kenderaan berdekatan rumah kami. Tauke kedai itu benarkan saya tadah air di kedainya. Saya juga tadah air paip di rumah jiran dan setiap kali tadah, kami hulur sikit duit,” katanya.

Menurut ibu dua anak itu, mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa tersebut sejak 16 tahun lalu dan ketika itu, bil air sudah tertunggak sebanyak RM250 disebabkan meter air rumah itu turut dikongsi dengan dua rumah lagi.

“Mula-mula duduk di rumah ini, saya bayar bil RM200. Bil sampai di rumah saya dan bila saya beritahu jiran, mereka minta saya bayarkan dahulu. Apabila bil amaran pemotongan sampai ke rumah, saya pergi bayar lagi untuk elak dipotong," katanya.

Namun katanya, selepas berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan akibat menghidap penyakit buah pinggang, dia tidak mampu lagi membayar bil itu.

Hayani berkata, gaji suaminya sebagai pengawal keselamatan pula hanya cukup untuk menampung hidup mereka tiga beranak.

"Suami saya tidak boleh melakukan kerja berat kerana menghidap diabetes. Keadaan ini menyebabkan  bil kian melambung dan kami tidak mampu membayarnya,” katanya.

 Sinar Harian

Tiada ulasan:

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman