23 Februari 2014
KENYATAAN AKHBAR MENTERI BESAR KELANTAN ISU TUNTUTAN ROYALTI MINYAK
Perkembangan Isu Tuntutan Royalti Minyak Kelantan
Saya ingin memberikan sedikit respon berkenaan isu tuntutan royalti minyak Kelantan yang sedang menjadi persoalan di kalangan sebahagian rakyat negeri ini. Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Kelantan sentiasa serius terhadap tuntutan royalti minyak yang diyakini menjadi hak milik rakyat negeri Kelantan sebagai sebuah negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Malaysia. Sikap ini tidak pernah berubah semenjak pentadbiran Yang Berhomat Tuan Guru Dato Bentara Setia selaku Menteri Besar sebelum ini hinggalah ke hari ini.
Inilah antara agenda yang dibawa oleh saya sendiri bersama beberapa pimpinan kerajaan negeri semasa melakukan pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya pada 28 November 2013 yang lepas. Saya menyerahkan sendiri surat daripada kerajaan negeri Kelantan memohon agar Perdana Menteri memandang serius isu tuntutan royalti minyak yang sudah berlarutan sehingga hampir lima tahun. Saya nyatakan bahawa rakyat Kelantan berhak ke atas setiap titik minyak yang dikeluarkan dari bumi Kelantan sendiri berasaskan perjanjian yang dimeterai di antara PETRONAS dan kerajaan negeri pada tahun 1975.
Berkaitan itu saman kerajaan negeri Kelantan berhubung tuntutan royalti minyak yang telah difailkan di mahkamah, pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan telah mendapat taklimat yang disampaikan oleh Tetuan Tommy Thomas pada 30 Oktober 2013 yang memaklumkan bahawa proses perbicaraan sedang berjalan di mana peguam kerajaan negeri antara lain di dalam proses untuk mendapatkan Discovery Document daripada PETRONAS yang mempunyai lebih seribu muka surat. Pihak peguam juga memaklumkan bahawa tarikh perbicaraan sedang ditunggu untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam masa yang terdekat. Justeru, tidak berbangkit isu bahawa Kelantan sedang menimbangkan untuk menarik balik saman yang telah difailkan.
Berhubung isu Jawatankuasa Khas berhubung pembayaran royalti minyak untuk Kelantan, kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju untuk melantik Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra untuk mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam perundingan tuntutan tersebut. Baginda telah beberapa kali menyertai perundingan dan kerajaan negeri dimaklumkan bahawa rundingan tersebut sedang berjalan di mana setiap negeri yang mempunyai hasil minyak di Malaysia turut menghantar wakil masing-masing.
Justeru, tuntutan royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan ini terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui pelbagai usaha. Apa yang penting ialah, sokongan rakyat Kelantan sendiri terhadap usaha-usaha kerajaan dan juga mana-mana badan bukan kerajaan bagi memastikan tuntutan ini mencapai matlamatnya demi kebaikan seluruh rakyat negeri Kelantan Darul Naim.
Salam hormat.
YANG AMAT BERHORMAT USTAZ DATO AHMAD BIN YAKOB,
Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 23 Rabiul Akhir 1435H bersamaan 23 Februari 2014M
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan