31 Januari 2014

Selamat Tahun Baru Cina - MB


Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada seluruh kaum cina khususnya bagi anda yang berasal dari Negeri kelantan.
Tahun ini adalah tahun kuda hijau. Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, kuda mempercepatkan kejayaan sesuatu usaha manakala hijau bermaksud keharmonian. Semoga tahun ini membawa kejayaan dan keharmonian kepada semua kaum. 
Mereka juga percaya kepada kepada ungkapan 'ma tao cheng kong' yang bermaksud melakukan sesuatu untuk mencapai kejayaan.  
Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai Chin Yuen Kuai Let

-Dato' Ustaz Ahmad Yaakob, Menteri Besar Kelantan.

29 Januari 2014

Pandangan TGNA tentang isu DUN Kajang


Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan pandangan tentang isu DUN Kajang yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya. Saya tidak tahu menahu tentang strategi atau isu yang berlaku sehingga membawa kepada pengosongan tersebut. Justeru, saya perlu menunggu penjelasan dari pihak PKR sendiri yang tentunya mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga langkah ini terpaksa dilakukan. Dalam hal ini, sikap PAS tentunya lebih wajar diputuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS selaku kuasa eksekutif di dalam parti berdasarkan pertimbangan-pertimbangan semasa.

Bagaimanapun, saya muak dengan akhbar-akhbar pro UMNO yang memainkan isu kononnya langkah mengosongkan kerusi itu ialah langkah memanipulasi demokrasi. Barangkali UMNO lupa, langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah langkah yang benar-benar jijik iaitu membelakangkan terus demokrasi dan merampas kerajaan melalui pintu belakang. UMNO jangan berlagak baik sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan.

Saya suka mencabar UMNO dan Barisan Nasional, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam pilihanraya kecil itu nanti. TGNA

Majlis MOU Tabung Amanah Tok Kenali & Golden Jullian Sdn Bhd





YAB Ustaz Dato Ahmad Yakob menghadiri majlis menandatangani memorandum kerjasama projek pembangunan tanah Pos Jedip Gua Musang di antara Tabung Amanah Tok Kenali (Kerajaan Negeri Kelantan) dan Golden Jullian Sdn. Bhd. di Hotel Perdana tengahari tadi,turut hadir sama YB Dato Mohd Amar Nik Abdullah,YB Dato SUK serta beberapa yang lain. — di Hotel Perdana Kota Bharu.

02 Januari 2014

Majlis Angkat Sumpah YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan








YAB Ustaz Dato Menteri Besar ketika menyaksikan majlis angkat sumpah Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baru,YB Dato Hj Mohd Faudzi Bin Che Mamat di pejabat beliau 

Kelantan Lulus Bajet RM6juta Beli Lori dan Tong Sampah


PENGKALAN CHEPA - Kelantan serius menangani isu kebersihan di negeri ini. Perkara ini dilihat melibatkan sikap individu dan masyarakat serta sokongan daripada segi prasarana yang membabitkan kos yang tidak sedikit.
Justeru Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan bajet RM6 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan tersebut.
Bercakap kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi peringkat Negeri Kelantan, Menteri Besar Ustaz Dato Ahmad Yaacob memberitahu media, sebanyak RM6j bajet telah diluluskan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk tujuan pembelian lori-lori pemungut dan tong-tong sampah.
"Kami telah meluluskan sebanyak RM6juta untuk Pihak Berkuasa Tempatan membeli lori dan tong-tong sampah."
"Di peringkat Exco Kerajaan Tempatan juga, perbincangan-perbincangan telah dilakukan bagi mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran rakyat dalam hal ini."
Beliau tidak menafikan isu kebersihan adalah perkara lama yang sering dibangkitkan di negeri ini, dan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, Kelantan juga bakal menerima kunjungan pelancong-pelancong samada dari dalam mahupun luar negeri. Justeru, tahap kebersihan dan kesihatan di negeri ini adalah sesuatu yang amat penting dan dinilai.
Beliau turut berharap agar rakyat bersama-sama di dalam agenda membersihkan dan mengindahkan Kelantan dengan mengambil sikap cakna terhadap kebersihan.

"Kerajaan negeri sentiasa berbincang untuk meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan di negeri ini. Kami juga berharap agar rakyat mengubah sikap ke arah yang lebih baik dan cakna."

Wayang Kulit, Makyong dan Menora perlu ubah visi selaras Membangun Bersama Islam - Ustaz Dato' Ahmad Yaakob

Foto Zam Zamani MZ
Pengkalan Chepa - "Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan kedatangan pelancong dari luar dan rakyat Kelantan sendiri ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014." 

Bercakap kepada sidang media di selepas merasmikan Majlis Sambutan Visit Malaysia Year 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa semalam, Menteri Besar, Ustaz Dato Ahmad Yaacob mengumumkan beberapa program diatur oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama TIC sempena Tahun Malaysia Malaysia 2014 peringkat Negeri Kelantan.

Beliau yang turut menyambut ketibaan pelancong di lapangan terbang tersebut menegaskan Kelantan meraikan program-program kesenian dan kebudayaan yang selaras dengan syariat Islam.

"Kerajaan Negeri Kelantan melihat seni budaya adalah sesuatu yang perlu ditegakkan cuma memerlukan garis panduan. Jika sesuatu budaya bercanggah dengan syariat dan tidak berpijak di bumi nyata, kerajaan akan menghentikannya. Sebagai contoh, wayang kulit yang megandungi unsur-unsur syirik dan pemujaan adalah diharamkan. Namun sekiranya penggiat budaya tersebut menukar visi wayang kulit ke arah membina kesedaran, dan menyampaikan mesej-mesej mendidik, kami tiada masalah untuk membenarkan.

"Apa sahaja yang tidak bercanggah dengan konsep Membangun Bersama Islam, tiada masalah."

"Sekiranya makyong mahu ubah mesej, juga kami terima."

"Mengenai pergaulan bebas sewaktu persembahan juga akan dikawal oleh pihak kerajaan negeri."

Walaubagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri tidak menghalang kegiatan-kegiatan seni ini dilakukan oleh orang bukan Islam. "Kita memberi peluang kepada rakyat Kelantan bukan Islam untuk menganjurkan aktiviti sebegini, seperti mana yang dibuat di rumah-rumah agama mereka ('ketik')." 

Sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 ini juga Kerajaan Negeri Kelantan menggiatkan program-program pembentukan sikap cakna terhadap kebersihan dan kesihatan di kalangan rakyat melalui program-program yang dirancangkan bersama antara Exco Kerajaan Tempatan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
 Tahum Melawat Malaysia 2014 peringkat Kelantan


Foto Zam Zamani MZ

Hasil tinjauan; 2014; Rakyat Kelantan mahukan hudud terlaksana


 
Melangkah ke tahun baru Masihi 2014, rata-rata mahukan perubahan hidup ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya.
 
Begitu juga dengan rakyat Kelantan, mereka mahukan beberapa peningkatan dilakukan terhadap negeri ini.

Tinjauan yang dibuat melalui laman Facebook myKelantan.tv menunjukkan kebanyakan responden mahukan agar hukum hudud disyariatkan dan dilaksanakan di negeri Kelantan dengan segera. Selepas Negara Brunei bertegas melaksanakan hudud, rakyat Kelantan mahukan negeri ini tampil sebagai negeri pertama melaksanakan hukum Allah tersebut.

Menjawab soalan tinjauan yang berbunyi ‘2014; Apa harapan anda pada Negeri Kelantan?’, Palie Sensei menulis, “Kekalkan kepimpinan oleh ulama.. agar hudud dilaksanakan secepat mungkin dan melaksanakan undang-undang berteraskan syariat Islam..” Beliau turut menulis, “Kalau boleh diwajibkan menutup aurat bagi umat Islam, no kompromi.” Komentar beliau turut mendapat sokongan daripada pengunjung lain dan ketikan tanda  ‘suka’ tertinggi iaitu sebanyak 39 orang.

Kebanyakan responden juga mahukan agar tuntutan royalti segera diperolehi dan minyak didaratkan di perairan Kelantan.

Selain itu, terdapat beberapa hasrat lagi yang disuarakan responden, di antaranya, “Saya berharap Kelantan kekal dengan roh Islam dan dalam masa yang sama zahirkan Islam itu melalui kebersihan dan rakyatnya yang berakhlak mulia,” oleh Tengku Nuruddeen.

Yaznie Yahya menambah, “Semoga Kelantan menjadi negeri contoh dalam semua bidang terutama bidang Sains Agama dan mengamalkan perundangan Islam sepenuhnya. Selain itu, saya berharap Negeri Kelantan dapat melahirkan tokoh-tokoh pemikir Islam pintar dalam mengharungi dan membimbing masyarakat yang tengah ‘kelam kabut’ sekarang ini.”

Tidak kurang juga yang menyarankan penambahbaikan di negeri ini, antaranya  mencadangkan agar negeri Kelantan memelihara dan mengindahkan pusat rekreasi seperti pantai perkelahan dan hutan lipur, mencadangkan agar bendera dan signboard lama ditukar dengan yang baru, membela nasib orang-orang kelainan upaya dan berharap agar Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Peluang-peluang pekerjaan juga diharap dapat ditambah supaya rakyat Kelantan tidak keluar bekerja ke negeri lain dan menyebabkan berlakunya pengaliran minda dan tenaga yang merugikan negeri.

Di samping itu, terdapat saranan responden agar Kelantan dapat mengurangkan kadar penagihan dadah dan penghidap AIDS.

Terdapat juga responden yang menyuarakan agar gerai-gerai CD dan kaset di pasar malam di sekitar Kelantan tidak lagi menayangkan lagu-lagu dikir yang disampaikan oleh wanita.

Malah tidak sedikit yang menyuarakan untuk melihat pasukan bola sepak Kelantan terus unggul. Al Walid Faiza mencoret, “ Diharap agar The Red Warrors kembali gemilang dan berubah menjadi BERIMAN dan menutup aurat. Komentar beliau ditokok oleh Puteri Aisyah, “Kalau Piya pakai seluar panjang, rasanya anak-anak muda yang bermain bola akan mencontohi beliau. Jika fesyen rambut Piya orang tiru, munutup aurat pun berkemungkinan orang akan ikut.. pahala buat Piya.”

Menyentuh persoalan sama, Muhammad Azim menulis, “Semoga Kelantan kekal dengan roh keIslaman dan semoga pasukan bola sepak Kelantan menjadi lebih kuat, insya Allah.”


Keseluruhannya, hampir kesemua saranan dan komentar ini bernada menekankan agama Islam menjadi tonggak utama di dalam pemerintahan dan rakyat.

TURUN 31.12.2013; Huru-hara cuba dicetuskan pihak tertentu

KUALA LUMPUR - Rakyat terutamanya anak-anak muda dengan begitu bersemangat  turun ke Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga barang yang kian menjadi-jadi.
Mereka berkumpul dalam suasana aman bagi menyuarakan rasa hati rakyat yang terhimpit dalam Perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) malam ini 31hb Disember 2013 di Dataran Merdeka.
Namun seperti biasa ada pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan ketegangan dan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap penganjuran TURUN.
Terdapat beberapa keping pelekat yang ditampal di dinding-dinding bangunan yang berbaur provokasi dan hasutan ditemui petang tadi.
Selain itu baju T-shirt hitam juga telah diedarkan di kawasan pusat membeli belah SOGO. Namun kegiatan tidak sihat tersebut berjaya dikesan oleh penganjur TURUN.
Ini menunjukkan situasi sebenar sesetengah pihak yang takut dengan suara dan kebangkitan rakyat. Apabila rakyat bersuara, dituduh pula sebagai ingin menggulingkan kerajaan.

Turun 31.12.2013 turun 31.12.2013turunturun
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman