02 Januari 2014

Hasil tinjauan; 2014; Rakyat Kelantan mahukan hudud terlaksana


 
Melangkah ke tahun baru Masihi 2014, rata-rata mahukan perubahan hidup ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya.
 
Begitu juga dengan rakyat Kelantan, mereka mahukan beberapa peningkatan dilakukan terhadap negeri ini.

Tinjauan yang dibuat melalui laman Facebook myKelantan.tv menunjukkan kebanyakan responden mahukan agar hukum hudud disyariatkan dan dilaksanakan di negeri Kelantan dengan segera. Selepas Negara Brunei bertegas melaksanakan hudud, rakyat Kelantan mahukan negeri ini tampil sebagai negeri pertama melaksanakan hukum Allah tersebut.

Menjawab soalan tinjauan yang berbunyi ‘2014; Apa harapan anda pada Negeri Kelantan?’, Palie Sensei menulis, “Kekalkan kepimpinan oleh ulama.. agar hudud dilaksanakan secepat mungkin dan melaksanakan undang-undang berteraskan syariat Islam..” Beliau turut menulis, “Kalau boleh diwajibkan menutup aurat bagi umat Islam, no kompromi.” Komentar beliau turut mendapat sokongan daripada pengunjung lain dan ketikan tanda  ‘suka’ tertinggi iaitu sebanyak 39 orang.

Kebanyakan responden juga mahukan agar tuntutan royalti segera diperolehi dan minyak didaratkan di perairan Kelantan.

Selain itu, terdapat beberapa hasrat lagi yang disuarakan responden, di antaranya, “Saya berharap Kelantan kekal dengan roh Islam dan dalam masa yang sama zahirkan Islam itu melalui kebersihan dan rakyatnya yang berakhlak mulia,” oleh Tengku Nuruddeen.

Yaznie Yahya menambah, “Semoga Kelantan menjadi negeri contoh dalam semua bidang terutama bidang Sains Agama dan mengamalkan perundangan Islam sepenuhnya. Selain itu, saya berharap Negeri Kelantan dapat melahirkan tokoh-tokoh pemikir Islam pintar dalam mengharungi dan membimbing masyarakat yang tengah ‘kelam kabut’ sekarang ini.”

Tidak kurang juga yang menyarankan penambahbaikan di negeri ini, antaranya  mencadangkan agar negeri Kelantan memelihara dan mengindahkan pusat rekreasi seperti pantai perkelahan dan hutan lipur, mencadangkan agar bendera dan signboard lama ditukar dengan yang baru, membela nasib orang-orang kelainan upaya dan berharap agar Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Peluang-peluang pekerjaan juga diharap dapat ditambah supaya rakyat Kelantan tidak keluar bekerja ke negeri lain dan menyebabkan berlakunya pengaliran minda dan tenaga yang merugikan negeri.

Di samping itu, terdapat saranan responden agar Kelantan dapat mengurangkan kadar penagihan dadah dan penghidap AIDS.

Terdapat juga responden yang menyuarakan agar gerai-gerai CD dan kaset di pasar malam di sekitar Kelantan tidak lagi menayangkan lagu-lagu dikir yang disampaikan oleh wanita.

Malah tidak sedikit yang menyuarakan untuk melihat pasukan bola sepak Kelantan terus unggul. Al Walid Faiza mencoret, “ Diharap agar The Red Warrors kembali gemilang dan berubah menjadi BERIMAN dan menutup aurat. Komentar beliau ditokok oleh Puteri Aisyah, “Kalau Piya pakai seluar panjang, rasanya anak-anak muda yang bermain bola akan mencontohi beliau. Jika fesyen rambut Piya orang tiru, munutup aurat pun berkemungkinan orang akan ikut.. pahala buat Piya.”

Menyentuh persoalan sama, Muhammad Azim menulis, “Semoga Kelantan kekal dengan roh keIslaman dan semoga pasukan bola sepak Kelantan menjadi lebih kuat, insya Allah.”


Keseluruhannya, hampir kesemua saranan dan komentar ini bernada menekankan agama Islam menjadi tonggak utama di dalam pemerintahan dan rakyat.

Tiada ulasan:

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab KTV Sport News. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman