Che Malek (tengah) bersama pegawai dan anggota menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Machang, semalam.
MACHANG - Polis memberkas seorang lelaki dan merampas 190 pil kuda serta 12 eramin 5 dalam rondaan cegah jenayah di Kampung Padang, Temangan, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, pada jam 3.30 petang, anggota Balai Polis Temangan melakukan rondaan sekitar kawasan kampung tersebut.
Menurutnya, kemudian mereka melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang duduk di sebuah tempat rehat di kampung itu.
Katanya, lelaki itu cuba melarikan diri apabila melihat polis, namun tidak berjaya.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai pil kuda dan eramin 5 bernilai kira-kira RM4,000 di dalam beg silang dipakai lelaki berumur 50 tahun itu.
"Suspek dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan selain hasil ujian air kencing mendapati suspek turut positif dadah," katanya.
Che Malek berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, suspek turut mempunyai enam rekod lampau di bawah kesalahan jenayah narkotik.
“Jika sabit kesalahan, di bawah Seksyen 39A (1), suspek boleh dipenjarakan tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
"Manakala bagi kesalahan kedua di bawah Seksyen 12(2), pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya semalam.
Che Malek berkata, seramai 157 orang berjaya ditangkap tahun ini sehingga Mac lalu melibatkan pelbagai kes jenayah di bawah kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kejayaan tersebut hasil kerjasama dan maklumat orang ramai yang sentiasa berganding bahu dengan pihak polis bagi mencegah jenayah.
“Saya harap kerjasama ini berterusan dan lebih erat pada masa akan datang dalam usaha membantu mengurangkan indeks jenayah di daerah ini.
“Pihak polis akan terus melakukan operasi dan bekerja keras dalam meningkatkan tahap keselamatan orang ramai seterusnya melahirkan persekitaran harmoni," katanya. SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan