Jalaluddin
Jalaluddin (tengah) ketika sesi taklimat bersama calon dan wakil calon yang bertanding PRU 13 di IPD Kota Bharu, semalam.
 
KOTA BHARU - Ketika bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Polis Kelantan bersedia permudahkan kelulusan permit mengadakan ceramah sepanjang tempoh berkempen sehingga jam 12 malam pada 4 Mei ini.

Bagi tujuan itu Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya boleh meluluskan permit dalam tempoh lima minit sahaja walaupun ceramah atau kempen itu akan berlangsung dalam jangka masa 30 minit selepas itu.

Menurutnya, kesediaan itu adalah bagi memudahkan kesemua calon yang bertanding untuk berceramah dan dalam masa sama polis berharap kempen dijalankan secara berhemah mengikut syarat-syarat di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

“Sekiranya ceramah yang dijalankan tidak memohon permit, polis akan berusaha mengeluarkan borang permohonan untuk diisi oleh penganjur dan akan diluluskan Ketua Polis Daerah selepas proses pengisi an borang.

“Tidak timbul soal ada yang sengaja tidak memohon permit kerana polis memantau perjalanan ceramah sepanjang tempoh berkempen. Jika sekali tidak pohon tiada masalah, sekiranya berulang itu sudah melampau,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau mengadakan taklimat kepada hampir 100 calon dan wakil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini, yang dihadiri sama Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri, Mohamad Mahmud dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Lai Yong Heng.

Jalaluddin berkata, dalam tiga hari tempoh berkempen polis meluluskan 112 permit sebagaimana peruntukkan Akta No.5 24B Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam masa sama, beliau juga meminta supaya masjid mahupun tempat beribadat tidak digunakan untuk berkempen kerana ia menjadi kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya 1954.

“Setakat ini kita hanya mendengar khabar terdapat masjid digunakan bagi tujuan politik, bagaimanapun, tiada laporan dibuat.

Jika ada laporan polis akan membuat siasatan,” katanya.

Sinar Harian