Superintenden Che Mahazan Che Aik
Superintenden Che Mahazan Che Aik 
 
KOTA BHARU - Polis Kelantan menasihatkan penyokong parti supaya tidak menggantung kain rentang berunsur hasutan yang boleh menimbulkan provokasi dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi PRU 13, Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima sejumlah laporan membabitkan kesalahan melanggar undang-undang pada kain rentang yang digantung untuk kempen kali ini.

 “Dalam banyak kain rentang itu, Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) mendapati ada tulisan tertera yang dipercayai berunsur hasutan serta boleh menimbulkan reaksi negatif daripada pihak yang berkenaan.

“Jadi saya nasihatkan tak usahlah gantung kain macam tu untuk elak berlaku pertengkaran mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam. Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung isu demikian supaya memaklumkan kepada PPKPR agar tindakan susulan dapat diambil.

“PPKPR yang terdiri daripada pegawai polis, ahli suruhanjaya pilihan raya, wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil dari semua parti yang bertanding akan bergerak secara berkumpulan di sekitar lokasi masing-masing.

“Jika terjumpa kain rentang mengandungi tulisan yang boleh menyebabkan kekecohan, mereka akan berbincang dan jika dirasakan perlu, kain rentang itu akan diturunkan,” katanya.

Sebelum ini, 10 kain rentang sekitar Machang dirampas dan polis percaya masih banyak ada lagi kain-kain sedemikian digantung di lokasi-lokasi lain.

Dalam perkembangan sama juga, seorang petani ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam ketika menurunkan kain rentang mengandungi provokasi membabitkan isu tanah yang digantung di Labok Bongor, Kuala Bala, Jeli, kelmarin. SINARHARIAN