Che Johan Che Pa - calon BN bagi Parlimen Pasir Mas yang tidak
menyerahkan kertas pencalonannya pagi tadi - berkata beliau menarik diri
bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru, yang akan
menyebabkan peluang BN meraih kerusi itu tipis.
"Saya
mengambil langkah untuk menarik diri... lebih-lebih lagi saya akan
bertanding melawan Datuk Ibrahim Ali yang juga semua orang anggap
seperti ayah dengan anak, sebagai mentor politik.
"Kalau saya mengambil keputusan meneruskan juga maka kedua-dua kami akan terkorban kalah dalam pilihan raya kali ini," katanya.
Che
Johan berkata walaupun berat hati untuk membuat keputusan sedemikian,
namun langkahnya itu demi kepentingan BN dalam usaha merampas kembali
Kelantan daripada kerajaan PAS.
Che Johan berkata beliau
sedia berjumpa dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bagi
menjelaskan sebab beliau mengambil tindakan mengejut itu, dan akan
menjawab segala persoalan yang dibangkitkan nanti.
Beliau juga
meminta supaya semua penyokong BN terus bekerja keras dan memastikan
kerusi Parlimen Pasir Mas dimenangi oleh Ibrahim yang didakwanya 'rakan
BN'.
Ibrahim pula berkata beliau terkejut dengan tindakan
Che Johan menarik diri dan tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat
penamaan calon.
"Kedudukan ini lebih meyakinkan saya untuk memenangi kawasan itu di samping menumbangkan PAS di kawasan ini," katanya.
Ibrahim turut menafikan wujud konsprirasi di sebalik keputusan Che Johan untuk menarik diri.
"Saya
difahamkan Che Johan hadir ke dewan penamaan calon dengan membawa
borang dengan penuh persediaan cuma tidak menyerahkan borang sehingga
tempoh penamaan calon tamat," katanya.
Bagaimanapun, beliau
tidak menolak kemungkinan Che Johan yang dikenali sebagai 'anak buahnya'
dalam politik, terhutang budi dan mahu memberi laluan mudah kepadanya.
Ibrahim
memenangi kerusi tersebut pada 2008 atas tiket PAS dengan mengalahkan
calon BN Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan